SEORANG buruh maut selepas kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 113, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran sempadan Dungun-Kemaman, Kemaman pukul 8.15 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata,
Mazlan Daud, 55, dari Kampung Beladau Selat Serada, Kuala Terengganu meninggal dunia di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
“Nahas dipercayai berlaku ketika mangsa yang memandu Proton Saga dalam perjalanan ke arah Jabor bersama isteri, anak dan seorang penumpang lain.
“Tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa tiba-tiba memasuki lorong kanan sebelum bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dari arah bertentangan.
“Jarak terlalu dekat menyebabkan berlaku pelanggaran secara berdepan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Menurut Hanyan, kemalangan itu menyebabkan isteri mangsa patah tangan dan kaki, anak perempuannya yang berusia 12 tahun patah tangan kiri manakala seorang penumpang lain tidak cedera.
Beliau berkata, pemandu pacuan empat roda yang merupakan kontraktor berusia 43 tahun tidak mengalami kecederaan.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut manakala anak dan isterinya dirawat di Hospital Dungun,” katanya.
Leave a Reply