zahid ismail sabri

Mahathir cabar Zahid kemuka undi tidak percaya terhadap PM

KETUA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Segambut, Mahathir Mohd. Rais mencabar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, ini bertujuan bagi mengesahkan keabsahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jika sekiranya mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan segera.

Jelasnya, langkah itu dilihat lebih baik berbanding desakan dan cemuhan yang dibuat setiap kali pembangkang menyuarakan pandangan supaya pilihan raya tidak diadakan tahun ini.

“Kemuka undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, apakah beliau masih mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

Mahathir Mohd. Rais
Mahathir Mohd. Rais

Beliau mengulas mengenai kenyataan Ahmad Zahid yang mendakwa pembangkang memberi pelbagai alasan untuk melengahkan PRU-15 demi ‘membeli masa’ untuk mendapatkan ruang mencukupi membohongi rakyat sekali lagi.

Menurutnya, semua sedia maklum bahawa pilihan raya akan menelan kos berbilion ringgit.

“Di saat rakyat sedang dihimpit kesusahan nyata pada hari ini, Presiden UMNO seharusnya cakna dalam memastikan wang sebanyak itu digunakan untuk membantu rakyat dan bukannya berhabis berbilion ringgit untuk nafsu politik beberapa kerat manusia,” katanya.

Ujarnya, langkah ‘demokratik’ yang Zahid cadangkan agar rakyat mendapatkan semula sebuah kerajaan yang kukuh bukanlah dengan mengadakan PRU15.

“Bukan isu ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi sahaja yang perlu difikirkan kerana negara kira juga belum selesai berperang dengan wabak Covid-19.

“Saya menyeru agar Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak menjadi ‘badut’ kepada kepimpinan tertinggi parti masing-masing sebaliknya perlu fokus kepada isu untuk menyelesaikan masalah rakyat,” ujarnya.

Tambahnya lagi, rakyat menuntut wakil rakyat berwibawa dapat membela nasib mereka bukannya menjaga kepentingan pemimpin yang sedang bergelut dengan tuduhan dan salah guna kuasa.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *