PKR menangguhkan kongres parti itu yang dijadualkan akhir bulan ini ke 15 hingga 17 Julai.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.
Memetik laporan FMT, beliau berkata, keputusan tersebut dibuat secara sebulat suara pada mesyuarat MPP PKR semalam bagi memberi ruang kepada audit forensik berhubung pemilihan parti.
“Mesyuarat malam tadi memutuskan untuk tangguh kongres pada Julai bagi memberi ruang untuk selesaikan aduan dan juga lakukan audit forensik,” katanya kepada FMT.
Kongres PKR dijadualkan berlangsung pada 24-26 Jun, di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.
FMT melaporkan pihaknya sedang menunggu maklumat lanjut daripada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).
Pada 5 Jun lalu, Pengerusi JPP, Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya terbuka untuk membuat audit forensik selepas seorang calon, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, mempersoalkan kesahihan lebih 25,000 undi dalam persaingan antara Rafizi Ramli dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi jawatan Timbalan Presiden.
Katanya, seramai 147,000 ahli PKR membuang undi dalam persaingan tersebut, namun keseluruhan undi yang diperolehi oleh Rafizi dan Saifuddin Nasution hanya berjumlah 119,030.
Sementara itu, Bernama melaporkan, Kongres Nasional Tahunan PKR yang dijadualkan berlangsung pada 24 hingga 26 Jun ini ditangguhkan ke 15 hingga 17 Julai depan.
Saifuddin Nasution dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penetapan tarikh baharu itu adalah bagi membolehkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengurus dan menyelesaikan beberapa perkara yang telah dibangkitkan, berkaitan pemilihan parti baru-baru ini.
“Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Keadilan telah meneliti beberapa dapatan dan syor yang dibentang JPP, berhubung proses aduan terutama bagi Pemilihan Keadilan 2022.
“Setelah meneliti dan memberi pertimbangan kepada pembentangan JPP ini, MPP memutuskan tarikh baharu Kongres Nasional ke-16 pada 16 hingga 17 Julai 2022 mengambil kira tempoh masa yang diperlukan untuk JPP mengurus dan menyelesaikan beberapa perkara yang telah dibangkitkan, serta memberi masa yang mencukupi kepada kepimpinan cabang baharu untuk membuat beberapa pelantikan,” katanya.
Saifuddin berkata, kongres yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, Selangor akan dimulai dengan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat serta Kongres Wanita Keadilan (Wanita) Pusat pada 15 Julai dan disusuli dengan kongres nasional pada keesokan hari.
Mengikut perancangan sebelum ini, kongres AMK dan Wanita PKR akan berlangsung pada 24 Jun dan disusuli dengan kongres nasional pada 25 dan 26 Jun.
Leave a Reply