SEORANG lelaki warga emas maut akibat serangan jantung selepas dipercayai dipukul jirannya dengan kayu, berpunca daripada mangsa yang menanam pokok depan rumah jirannya di Jalan Kelochor, Kota Bharu petang tadi.
Mangsa, lewat 60-an, ditemukan meninggal dunia di bahagian dapur rumahnya pada pukul 12 tengah hari.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu menerima panggilan dari Unit Rondaan (MPV) bahawa terdapat satu kejadian pergaduhan melibatkan dua lelaki di jalan berkenaan.
“Polis ke tempat kejadian dan menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri terbaring di bahagian dapur rumahnya dan kemudian menghubungi pihak hospital untuk bantuan.
“Hasil pemeriksaan daripada penolong pegawai perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu yang datang ke tempat kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
“Mayat mangsa dibawa ke HRPZ II untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, malam ini, lapor Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, hasil siasatan awal dipercayai kejadian pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham di antara mangsa dengan suspek yang merupakan jirannya.
Ujarnya, kejadian itu berlaku di laluan hadapan rumah suspek yang bertentangan dengan bahagian belakang rumah mangsa.
“Suspek dipercayai bertindak memukul mangsa menggunakan sebatang kayu menyebabkan mangsa melarikan diri pulang ke rumahnya sebelum ditemui oleh isterinya dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di bahagian dapur rumahnya.
“Pemeriksaan tubuh badan mangsa mendapati kesan luka dan bengkak pada bahagian belakang kepala serta kesan calar pada tangan,” katanya.
Beliau berkata, susulan itu pihak polis menahan suspek serta merampas sebatang kayu yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.
“Mangsa tidak bekerja serta tinggal berdua bersama-sama isterinya yang berusia awal 70-an dan mayatnya dibawa ke HRPZ II untuk bedah siasat.
“Hasil soal siasat, suspek mengaku memukul mangsa menggunakan sebatang kayu berpunca akibat tidak puas hati kerana mangsa menanam pokok di laluan jalan menyebabkan kenderaan milik suspek sukar melaluinya,” katanya.
Tambahnya, hasil bedah siasat mendapati sebab kematian mangsa akibat serangan jantung dan pada masa sama berlakunya kecederaan mengakibatkan kesakitan sehingga berlakunya serangan jantung.
“Ujian saringan air kencing ke atas suspek adalah negatif dan akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Leave a Reply