MUFTI Kelantan, Datuk Mohamed Shukri Mohamed meyifatkan cadangan untuk menguatkuasakan kod etika baharu dalam pengiklanan bagi menghalang sebarang penggunaan elemen dan unsur agama bagi melariskan produk dapat mengelakkan kecelaruan dalam kalangan masyarakat terutama pengguna.
Sambil menyambut baik cadangan tersebut beliau berkata, ini secara tidak langsung dapat mengelakkan pengeluar daripada terus mengeksploitasi produk keluaran mereka.
Beliau menyokong cadangan tersebut kerana sangat positif sekali gus dapat mengelakkan pengeluar menyalahgunakan unsur-unsur berkaitan keislaman dan juga unsur lain.
“Saya melihat cadangan itu dengan pandangan yang positif bahawa kita perlu berhati-hati supaya tidak menyalahgunakan unsur-unsur keislaman dan unsur lain juga.
“Penyalahgunaan ini akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat dan boleh mencelarukan kefahaman pengguna,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Harian Metro.
Menurutnya, kewujudan peraturan tertentu bagi membendung unsur eksploitasi juga disifatkan sangat baik.
Beliau berkata, bukan sahaja penggunaan unsur agama, malah produk lain yang menggunakan propaganda menampilkan wanita dan aksi menghairahkan juga perlu ada kod etika.
“Namun, sebagai pengguna atau pembeli, kita juga perlu bijak untuk berfikir dan menilai bagi mengelakkan daripada terpedaya dengan produk yang menggunakan unsur keagamaan dan eksploitasi lain,” katanya.
Media semalam melaporkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menguatkuasakan kod etika baharu dalam pengiklanan bagi menghalang sebarang penggunaan elemen dan unsur agama untuk melariskan perniagaan atau pemasaran produk.
Leave a Reply