JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 28 individu dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan dalam kawasan kedai Pekan Koidupan, Jalan Penampang Baru, Penampang, semalam.
Jurucakap JIM Sabah berkata, semua yang ditahan dalam operasi pukul 11.40 malam itu membabitkan pendatang tanpa izin (PATI), pekerja dan gadis pelayan pelanggan (GRO) di pusat hiburan berkenaan.
“Semasa serbuan pasukan JIM menjalankan pemeriksaan dokumentasi terhadap 75 individu membabitkan pekerja dan pengunjung premis.
“Hasil pemeriksaan mendapati, 28 daripada individu terbabit gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah dan melakukan kesalahan melanggar akta Imigresen,” katanya memetik laporan Utusan Borneo, hari ini.
Katanya, semua yang ditahan melibatkan lima lelaki dan 15 wanita warga Filipina serta seorang lelaki dan tujuh wanita warga Indonesia.
“Mereka yang ditahan dikesan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Sebahagian suspek juga ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas,” katanya.
Operasi Bersepadu Gegar JIM Sabah dijalankan dengan kekuatan seramai 37 pegawai dan anggota.
Leave a Reply