TIADA syarat yang ditetapkan oleh DAP untuk bekerjasama dengan Parti Warisan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pendirian yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke itu sekali gus menafikan dakwaan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa DAP meletakkan syarat tertentu untuk menjalinkan kerjasama.
Memetik laporan FMT, Ahli Parlimen Rasah itu berkata, DAP hanya menyatakan ‘pendirian’ untuk mempertahankan tiga kerusi yang dimenanginya di Sabah pada PRU-14.
Kerusi-kerusi Parlimen tersebut adalah Kota Kinabalu, Sandakan dan Tenom.
“Kita tidak minta banyak. Kita tidak mempunyai banyak kerusi (di Sabah).
“Sebaliknya saya dituduh sebagai angkuh. Bagi saya ini seolah-olah seperti alasan untuk tidak berunding mengenai kerusi,” katanya dalam segmen di Facebook bertajuk #AnthonyJawabJujur.
Semalam, Mohd Shafie berkata, DAP tidak sepatutnya menetapkan syarat apabila berunding dengan Warisan mengenai kemungkinan kerjasama pada PRU-15.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata demikian bagi mengulas kenyataan Anthony bahawa parti itu bersedia untuk bekerjasama dengan parti dari Sabah yang lain selagi mereka mengekalkan hak bertanding di tiga kerusi itu.
“Ini aliran trafik sehala, nak bincang, bincanglah. Tetapi ini ada letak syarat. Hanya boleh bincang kecuali penuhi kehendak mereka.
“Kita tidak boleh terlalu angkuh, tujuan kita nak menang. Maka rundinglah macam dulu, sebelum kita berhadapan PRU-14. Ketika itu, kita runding sebaik mungkin bukan hanya pembahagian kerusi tetapi hala tuju kerjasama,” kata Mohd Shafie seperti yang dipetik sebelum ini.
Anthony turut menyatakan, beliau terbuka untuk bekerjasama dengan Warisan dan terpulang kepadanya untuk menerima tawaran itu.
Namun katanya, komen yang dibuat oleh parti itu memberi gambaran bahawa ia tidak berminat untuk mengadakan sebarang perbincangan atau rundingan.
Pada Mac lalu, Anthony mengakui bahawa hubungan DAP dan Warisan agak ‘tegang’ disebabkan ‘pendekatan konfrontasi’ yang dilakukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan bertanding di kerusi yang dimenangi DAP pada PRU-14.
Jumaat lalu, Setiausaha DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, sebarang kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) Sabah dan Warisan nampaknya tidak mungkin berlaku kerana mereka menjauhkan diri daripada gabungan pembangkang.
Leave a Reply