40 set bubu naga dirampas di perairan Pulau Pinang

Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas sebanyak 40 set bubu naga di tiga lokasi berbeza di kedudukan kira-kira 1.4 batu nautika barat perairan Pulau Burung, Seberang Perai Selatan (SPS) antara pukul 2.40 hingga 3 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, semasa bot ronda KILAT 26 melaksanakan rondaan rutin, anggota penguat kuasa telah menemukan beberapa pelampung yang mencurigakan di tiga lokasi berbeza.

Jelasnya, pemeriksaan lanjut kemudiannya berjaya menemukan 40 set bubu naga tersebut yang dipasang oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Kesemua bubu naga dengan anggaran nilai RM4,800 itu dirampas dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemeriksaan lanjut pihak maritim kemudiannya berjaya menemukan 40 set bubu naga tersebut yang dipasang individu tidak bertanggungjawab

Tegas beliau, penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

Jelasnya, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.
 
“Sehubungan itu, nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan,” katanya.

Dalam pada itu tambah beliau, Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram tersebut dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

“Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *