Zuraida hadir mesyuarat Kabinet pagi ini

MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin hadir mesyuarat Kabinet pagi ini.

Menurut sumber yang rapat dengannya, Zuraida hadir ke mesyuarat Kabinet pada jam 9.40 pagi tadi.

Setakat ini, Zuraida masih menjalankan tugas di kementerian seperti biasa dan agenda membanteras isu dakwaan buruh paksa dalam sektor perladangan sawit negara tetap menjadi keutamaan biarpun kedudukannya sebagai menteri Kabinet masih belum diputuskan.

Zuraida masih lagi menunggu masa yang sesuai daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan kedudukannya sebagai anggota Kabinet.

“Ketika ini Datuk mahu memberi tumpuan kepada tugas di Kementerian memandangkan Perdana Menteri belum membuat keputusan (mengenai kedudukan sebagai menteri Kabinet) dan beliau bertanggungjawab terhadap sektor komoditi negara.

“Beliau sedang berusaha dalam isu sekatan import sawit oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) dan masih bekerja kuat melawan agenda anti minta sawit.

“Jadual Zuraida hari ini juga padat dengan tugasan di kementerian termasuk menghadiri mesyuarat,” katanya lapor Berita Harian, hari ini.

Semalam media melaporkan Zuraida sedang bersiap sedia kerana belum menerima jemputan untuk bertemu Perdana Menteri.

Kedudukan Zuraida dalam Kabinet pimpinan Ismail Sabri menjadi tanda tanya selepas mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk sertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dalam satu kenyataan media pada akhir bulan lepas.

Namun demikian, dalam kenyataan sama Zuraida memaklumkan akan bertemu Perdana Menteri dalam masa terdekat membincangkan peletakan jawatannya sebagai Menteri.

Kenyataan itu dibuat Zuraida ketika beliau berada di Turki memenuhi undangan Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan Palestin manakala Ismail Sabri berada di Tokyo, Jepun, menghadiri Persidangan Nikkei.

Dalam satu sidang media di Jepun pada 28 Mei lalu, Ismail Sabri memaklumkan Zuraida masih menteri Kabinet dan perlu menjalankan tugas sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi seperti biasa, selagi beliautidak membuat keputusan.

Zuraida pulang ke Malaysia Khamis minggu lalu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *