Roti canai pula dijangka naik harga

HARGA roti canai di rangkaian gabungan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), dijangka mengalami kenaikan sebanyak 10 sen berikutan peningkatan harga bahan mentah seperti tepung, minyak masak dan marjerin.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali Taib Khan, berkata tepung gandum 20 kilogram pada 2020 berharga RM46, tetapi kini mencecah antara RM67 hingga RM68.

“Roti canai sudah jadi makanan ruji untuk sarapan dan disebabkan itu kami akan cuba sebaik mungkin untuk tidak menaikkan harganya. Namun, jika terpaksa dinaikkan juga, ia mungkin bermula daripada 10 sen sehingga 20 sen, namun bukan melonjak terus sebanyak 20 sen, sebaliknya secara berperingkat.

“Persatuan akan bincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna KDNHEP) untuk meminta padangan dan juga nasihat,” katanya, lapor Berita Harian, hari ini.

Jawhar Ali menegaskan, pihaknya akan cuba mengekalkan harga berpatutan demi kebaikan pelanggan yang rata-ratanya adalah pelanggan tetap yang mahukan khidmat terbaik, tempat yang bersih dan makanan lazat.

Katanya, purata harga semasa roti canai di premis makanan milik ahli PRESMA adalah antara RM1.20 hingga RM 1.70.

“Kami tidak boleh meletakkan tanda harga sama di semua restoran. Contoh, peniaga di Bangsar sewa kedai kira-kira RM35,000 sebulan dan sehari perlu bayar sekitar RM1,200 berbanding di lokasi lain. Maka, harga makanan turut dipengaruhi oleh lokasi.

“Makanan lain seperti tosai dan capati kekal kerana bahan mentah yang digunakan tidak sama dengan roti canai,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan pengguna memanfaatkan hak mereka dengan mengelak premis makanan yang menjual pada harga tidak masuk akal serta membuat aduan kepada KPDNHEP.

“Jika rasa kedai itu jual makanan pada harga tidak munasabah, elakkan makan di situ atau terus buat aduan kepada KDNHEP,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *