Pekerja pembekal makanan dipenjara pukul isteri guna kerusi

SEORANG pekerja pembekal makanan dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas kesalahan memukul kepala isterinya menggunakan kerusi.

Tertuduh, A. Ramasamy, 48, dikenakan hukuman itu bermula tarikh tangkapan pada Sabtu lalu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.

Sinar Harian melaporkan, mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 44 tahun dengan memukul menggunakan kerusi di bahagian kepala.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah flat projek perumahan rakyat (PPR) di Kepong, Kuala Lumpur pada pukul 6 petang, 4 Jun lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau dengan kedua-duanya.

Semasa prosiding, tertuduh dalam rayuannya memohon agar dikenakan hukuman pemenjaraan pada kadar minimum kerana perlu menjaga keluarga termasuk empat anaknya yang berusia 23 hingga enam tahun.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Amalina Johar mencadangkan mahkamah menjatuhi hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *