AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berharap dapat menerima sekurang-kurangnya sebuah kapal peronda luar pesisir pantai (OPV) tahun ini bagi meningkatkan rondaan di kawasan perairan negara yang kian mencabar.
Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim, Laksamana Madya (M) Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, ketika ini agensinya memiliki 70 kapal dan 190 bot di seluruh negara, namun sebahagian besarnya sudah usang dan tidak dapat berfungsi dengan baik.
“Kita sepatutnya sudah terima tiga kapal OPV lama dulu tetapi disebabkan beberapa masalah tertentu, kita masih belum menerimanya.
“Dengan perkembangan terkini, Insya-Allah perkara itu sedang diatasi dan kita harapkan seperti yang dijanjikan pihak kementerian (Kementerian Dalam Negeri) kepada Maritim Malaysia untuk terima tahun ini sekurang-kurangnya satu kapal dahulu,” katanya selepas melancarkan Hari Kesedaran Keselamatan Maritim dan ‘World Ocean Week’ di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli.
Saiful Lizan berkata, selain kapal OPV pihaknya juga menjangkakan menerima enam bot pemintas laju (FIC) menjelang akhir tahun ini bagi meningkatkan pemantauan dan mengawal perairan terutama daripada pencerobohan nelayan asing.
Dalam pada itu katanya, sepanjang 16 tahun Maritim Malaysia, agensi tersebut telah berjaya mengendalikan 2,500 kes melibatkan pelbagai insiden.
“Sebanyak 805 kes yang dikoordinasikan melibatkan insiden kapal dan bot; koordinasi melibatkan manusia (944 kes), bantuan aset (525 kes); khidmat nasihat perubatan (19 kes) dan khidmat bantuan sokongan dan platform logistik kepada agensi lain (207 kes),” katanya. – Bernama
Leave a Reply