Pulau Kapas sesak diserbu pelancong sempena cuti persekolahan

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

PULAU-pulau peranginan di Terengganu seperti Redang, Perhentian, Kapas dan Tenggol kembali sesak diserbu pelancong selepas hanya sebulan keadaan seperti itu berlaku.

Kalau bulan lalu, pelancong menyerbu ke pulau- pulau tersebut sempena cuti panjang hari raya Aidilfitri, kini kebanjiran pelancong disebabkan cuti penggal persekolahan.

Tinjauan WartaRakyat di Jeti Pelancongan Marang hari ini mendapati suasana persekitran penuh sesak dengan para pelancong sejak awal pagi lagi.

Kebanyakan mereka telah membuat tempahan bot, bilik hotel dan chalet sejak sebulan lalu termasuk menerusi talian.

Ini menyebabkan semua bilik hotel dan chalet habis ditempah sejak sebulan lalu.

Manakala suasana persekitaran di kawasan parkir kenderaan pula penuh sesak dengan kenderaan termasuk mereka yang menyertai aktiviti memancing dan mencandat sotong.

Limpahan pelancong yang tidak diduga ke pulau-pulau peranginan di Terengganu termasuk Kapas membabitkan pelancong dari luar dan penduduk tempatan dalam tempoh hanya sebulan masyarakat bercuti amat jarang berlaku.

Menurut pemilik Kapas Suria Link Bot Service, Zakaria Sulong, semua bilik hotel dan chalet di pulau Kapas sudah habis ditempah sejak awal lagi.

“Ramai yang membuat tempahan awal bilik hotel dan chalet sama ada di pulau-pulau atau di daratan untuk mengelak kekecewaan manakala bagi penduduk tempatan pula, mereka berkunjung bersama keluarga secara balik hari.

“Setakat ini tempahan bot untuk balik hari masih ada, tetapi ia agak terhad”, kataya ketika ditemui di Marang, hari ini.

Menurut Zakaria, selain bilik hotel dan chalet semua aktiviti lain termasuk selam skuba dan perkhemahan turut penuh, menyebabkan ramai yang kecewa.

Ujarnya, kedatangan pelancong ke Pulau Kapas pada kali ini berlipat kali ganda berbanding sebelum ini.

“Berdasarkan tempahan bot, pelancong yang ke Pulau Kapas dianggarkan sekitar 1,000 orang sehari.

“Kebanyakan mereka adalah dari luar Terengganu. Mungkin juga mereka lepas geram ekoran baru bebas selepas berkurung dua tahun,” ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *