Jemaah haji Malaysia ziarah makam Rasulullah SAW

SERAMAI 295 jemaah haji Malaysia selesai menziarahi makam Baginda Rasulullah SAW di Madinah hari ini.

Mereka kemudiannya dibawa ke Perkuburan Baqi’, tempat bersemadinya ahli keluarga baginda beserta para sahabat.

Mereka yang merupakan kumpulan pertama, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz kira-kira pukul 9.30 malam tadi waktu Malaysia.

Ketibaan mereka di Hotel Anwar Al Madinah Movenpick yang terletak bersebelahan dengan perkarangan Masjid An Nabawi disambut oleh Konsul Haji Mohammad Saimi Mat Som, Konsul di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia Farah Syafina Bahari dan Muhammad Hafiz Bahar Ketua Canseri, Konsulat Malaysia di Jeddah.

Mohammad Saimi berkata Lembaga Tabung Haji (TH) amat bersyukur atas ketibaan itu dan ia memecah kerinduan pada senario musim haji selepas dua tahun tertangguh akibat penularan wabak Covid-19.

“Kami mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada kepimpinan kerajaan Arab Saudi terutama penjaga dua kota suci Raja Salman Abdulaziz dan Putera Mahkota Mohamad Salman, di atas keputusan membuka ibadat haji kepada negara luar.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Kementerian luar, Syarikat Adila dan pihak berkuasa tempatan serta Kedutaan Malaysia di Arab Saudi, yang sentiasa membantu memudahkan apa juga peraturan-peraturan dan syarat syarat yang perlu dipatuhi dalam semua urusan jemaah haji Malaysia,” katanya lapor BERNAMA

Tambah beliau dengan ketibaan jemaah tersebut bermulalah operasi haji di Tanah Suci dan pihaknya akan terus memastikan kemudahan dapat diuruskan dengan baik dan teratur.

“Semua jemaah haji Malaysia perlu menjaga kesihatan dan kebersihan diri agar sentiasa berada pada tahap terbaik.

Mereka juga perlu mengikuti segala nasihat dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh petugas dari semasa ke semasa. Cuaca di Madinah agak panas yang mencecah 50 darjah celcius dan elakkan terdedah terlalu lama di bawah cahaya matahari” katanya.

Seramai 14,306 orang jemaah haji Malaysia akan menunaikan ibadah Rukun Islam kelima itu pada tahun ini dan mereka dijadualkan tiba di Madinah serta Makkah secara berperingkat.

*Ikuti laporan ibadah haji 1443 oleh Lembaga Tabung Haji melalui media sosial Facebook, Twitter,Instagram dan Tik Tok.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *