‘’Mungkin bahasa Malaysia ada masalah’’ – Anthony bidas pemimpin UMNO

DAP meminta Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri memberi penjelasan lebih terperini berhubung memorandum persefahaman antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) kepada pemimpin UMNO.

Ketika membuat gesaan itu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, penjelasan itu perlu dilakukan kerana ada pemimpin UMNO seakan-akan keliru dan tidak faham dengan MoU berkenaan dan saling mengeluarkan kenyataan bercanggah antara mereka.

“Mereka menyalahkan sesama sendiri sebab tidak faham dengan MoU itu, malah ada satu berita menarik yang saya baca pagi tadi, seorang pemimpin BN (Barisan Nasional) Selangor, menyalahkan seorang pemimpin UMNO kerana kononnya ulangi apa yang DAP dan saya cakap.

“Seperti biasa mereka mengatakan DAP sangat berkuasa kerana menentukan apa yang pemimpin UMNOcakap, sekali lagi (mereka mengatakan) semuanya salah DAP. Yang jelas MoU mengatakan sebelum tarikh 31 Julai, tiada pilihan raya akan diadakan.

“Mungkin bahasa Malaysia (bahasa Melayu) mereka (pemimpin UMNO) ada masalah. Jadi, saya sarankan kepada Perdana Menteri yang sekarang ini ‘juara’ bahasa Malaysia supaya mendidik dan menjelaskan kepada pemimpin UMNO berkenaan MoU ini,” katanya lapor portal FMT.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan ibu pejabat DAP Sabah, di di Kota Kinabalu, hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa sebelum ini berkata, tiada tarikh tamat bagi memorandum persefahaman (MoU) kerajaan PH.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil mempersoalkan mengapa Annuar kelihatan seolah-olah mengulangi DAP dalam komennya mengenai MoU berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata, DAP kini bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.

“Bagi Sabah, sasaran minimum kita ialah mempertahankan tiga kerusi yang dimenangi sebelum ini iaitu Kota Kinabalu, Sandakan dan Tenom.

“Soal pertambahan kerusi, itu kita akan putuskan selepas berbincang dengan rakan-rakan dalam PH dan juga parti-parti lain yang ingin menjalinkan kerjasama, kita terbuka untuk bekerjasama dengan semua,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *