TIGA daripada 298 jemaah haji kumpulan pertama ke Tanah Suci hari ini disahkan positif COVID-19.
Memetik laporan Berita Harian, Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata individu disahkan positif itu sudah memaklumkan lebih awal keputusan ujian saringan RT-PCR COVID-19 mereka kepada TH.
“Kerajaan Arab Saudi menetapkan jemaah yang mencatat keputusan ujian PCR negatif saja dibenar menunaikan fardu haji, begitu juga syarikat penerbangan. Bagi penerbangan pertama ini, kita mendapati tiga jemaah haji positif COVID-19. Justeru, TH menasihati mereka supaya melalui proses atau prosedur ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mereka perlu menjalani proses kuarantin dan selepas itu apabila tiada lagi apa-apa simptom, mereka boleh mendapatkan nasihat pihak hospital atau doktor dan menjalani ujian PCR sekali lagi.Jika keputusan ujian PCR mereka itu negatif dan penerbangan masih ada, TH akan cuba sedaya upaya mendapatkan tempat untuk mereka menunaikan haji,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di Sepang hari ini.
Syed Saleh berkata, TH berharap bakal jemaah haji bagi penerbangan seterusnya juga teliti berhubung pengambilan ujian PCR COVID-19.
“Dalam tempoh 56 jam sebelum melapor diri di stesen berlepas, jika ada jemaah yang positif, hendaklah segera memaklumkan TH supaya kami dapat membuat perancangan seterusnya,” katanya.
Ditanya apa yang perlu dilakukan jika salah seorang daripada pasangan jemaah positif COVID-19, beliau berkata, terpulang kepada pasangan terbabit sama ada salah seorang mahu meneruskan perjalanan atau menunggu pasangannya sembuh.
“Sama ada pasangan yang negatif COVID-19 itu mahu meneruskan dahulu perjalanan atau menunggu penerbangan bersama apabila pasangan mereka sudah disahkan negatif nanti, adalah terpulang kepada mereka.
“Kalau pergi berasingan, akan ditempatkan di hotel berasingan, jadi itu mungkin akan menimbulkan sedikit kerumitan ketika berada di sana,” katanya yang turut memaklumkan penerbangan terakhir jemaah ke Tanah Suci ialah pada 3 Julai depan.
*Ikuti laporan ibadah haji 1443 oleh Lembaga Tabung Haji melalui media sosial Facebook, Twitter,Instagram dan Tik Tok.
Leave a Reply