Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SUDAH jatuh ditimpa tangga. Itu perumpaan paling sesuai bagi Norizan Marsandi selepas ditinggalkan suami yang berkahwin baharu dan dia kini seorang diri menjaga anaknya yang menghidap sakit jantung berlubang.
Bagi Norizan, 46, dari Kampung Paya Lang, Batu Anam, Segamat, hidup perlu diteruskan dan harus kuat menempuh cabaran yang datang terutama demi kelangsungan hidup Muhammad Raeez Ramadhan Mohd. Zulkiflee yang menghidap jantung berlubang sejak kecil.
Menurutnya, Muhammad Raeez Ramadhan, 13, memerlukan dana RM65,000 bagi menampung kos pembedahan yang perlu dilakukan secepat mungkin di Institut Jantung Negara (IJN).
Katanya, anak kelima daripada enam beradik itu ketika ini meneruskan kehidupan seperti biasa dengan hadir dalam kelas bahagian pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Pogoh di Segamat.
“Apa yang membimbangkan, doktor memberitahu saiz lubang di jantungnya kini sebesar syiling 50 sen dan dikhuatiri membesar jika pembedahan tidak dilakukan segera.
“Saya risau dengan keadaan Muhammad Raeez Ramadhan sekiranya pembedahan lambat dilakukan. Kalau boleh saya mahu dia mendapat rawatan pembedahan segera kerana keadaannya semakin hari semakin lemah dan tidak seceria dulu.
“Muhammad Raeez Ramadhan akan cepat penat selain kuku dan bibirnya akan selalu biru. Sebelum ini pihak hospital ada memasukkan alat pada leher untuk bantuan pernafasan selain mencabut 12 batang giginya pada 22 April 2015 untuk tujuan pembedahan.
“Dia kini mendapat rawatan di Hospital Daerah Segamat (HDS) dan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru. Kos pembedahan sebelum ini hanya RM15,000 tetapi kini sudah mencecah RM65,000,” katanya ditemui dirumahnya, hari ini.
Norizan berkata, kos untuk pembedahan Muhammad Raeez Ramadhan terlalu tinggi dan dan keluarganya tidak mampu membiayainya.
Dia yang sebelum ini memperoleh pendapatan dengan menghantar mi dan kuih ke gerai berdekatan rumah, kini menyewa kedai sejak sebulan lalu menjual sarapan pagi dan makanan tengah hari.
Kata Norizan, pendapatannya tidak cukup kerana perlu menanggung lima anak yang lain selain kini dalam proses fasakh dan suaminya kini tidak lagi mengambil tahu masalah Muhammad Raeez Ramadhan.
Dia berkata, Muhammad Raeez Ramadhan dikesan menghidap sakit jantung berlubang sejak berusia enam bulan sebelum keadaan bertambah teruk apabila meningkat dewasa dan kini perlukan rawatan di IJN.
“Semuanya saya kena buat sendiri termasuk berulang alik dari HDS ke HSA. Kalau nak diikutkan memang sukar tetapi kekuatan saya adalah anak-anak. Saya akan lakukan yang terbaik bagi memastikan Muhammad Raeez Ramadhan sihat seperti rakan sebanyanya,” katanya.
Bagi mereka yang mahu menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi 01078020381310 Bank Islam akaun Norizan Marsandi atau boleh berhubung dengannya menerusi talian 011-3554 2726.
Leave a Reply