DAP bidas sikap tidak konsisten Ismail Sabri

TINDAKAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  yang dilihat tidak konsisten atau fllip flop dalam membuat kenyataan berkaitan bila Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dikecam DAP.

Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke berkata, Perdana Menteri  yang dipetik oleh Nikkei Asia pada Isnin berkata, PRU-15 tidak akan diadakan dalam tempoh terdekat, namun dalam ucapan di konvensyen Barisan Nasional (BN) semalam, beliau mengatakan tidak akan melengah-lengahkan pembubaran Parlimen walaupun sesaat jika gabungan itu telah bersedia.

“Namun dalam masa 48 jam sahaja, beliau telah menukar nada semasa berucap di konvensyen BN. Pokoknya perdana menteri perlu konsisten dan tegas dalam pendiriannya,” katanya melalui  Facebook hari ini.

Beliau turut mengingatkan Ismail Sabri bahawa keputusan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen adalah budi bicara Perdana Menteri.

Oleh itu katanya, keputusan yang begitu penting itu tidak seharusnya dipengaruhi oleh pihak tidak berkaitan yang hanya mementingkan “survival” politik mereka.

“Sekiranya beliau benar-benar ingin menangani isu inflasi daripada memanggil pilihan raya dalam tempoh terdekat, maka sebagai Perdana Menteri beliau perlu mencari konsensus merentasi parti supaya seluruh fokus nasional menjurus kepada agenda membantu rakyat,” katanya.

Pada masa sama, Loke menegaskan bahawa DAP tidak pernah bimbang untuk menghadapi pilihan raya yang diadakan pada bila-bila masa tetapi kenyataan dan mesej “flip-flop” hanya akan menimbulkan ketidakstabilan politik yang berlanjutan dan memudaratkan lagi keadaan ekonomi negara.

“Kami telah bersedia. Isu utamanya ialah Perdana Menteri perlu lebih tegas dalam pendiriannya,” katanya.

Top of Form

Bottom of Form


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *