APMM Kelantan tahan 106 nelayan asing, rampas aset bernilai RM14.49 juta sejak Januari hingga Mei

by

in

SERAMAI 106 nelayan asing serta tekong warga Thailand dan Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan sejak Januari hingga Mei lalu.

Menurut Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman, hasil penahanan tersebut, pihaknya berjaya merampas 13 bot, ikan dan diesel yang keseluruhannya bernilai RM14.49 juta.

Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman

Menurut beliau, kesemua bot yang dirampas membabitkan 12 bot nelayan Vietnam dan sebuah bot nelayan Thailand.

Beliau berkata, selain bot, pihaknya turut merampas 5,400 kilogram (kg) ikan bernilai RM64,800.

“Pada masa sama, rampasan juga membabitkan diesel sebanyak 13,800 liter yang bernilai RM29,670.

“Keseluruhan rampasan sepanjang Januari sehingga Mei adalah sebanyak RM14.49 juta dengan penahanan 106 orang nelayan termasuk tekong,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.,lapor Harian Metro.

Syed Nor Adli berkata, pihaknya sentiasa meningkatkan kawalan bagi mengelak sebarang pencerobohan termasuk kemasukan nelayan asing.

Antara bot yang dirampas kerana melakukan pencerobohan di perairan negara

“Alhamdulillah, setakat ini keadaan perairan negara terkawal daripada sebarang aktiviti pencerobohan termasuk nelayan asing,” ujarnya.

Ketika ditanya sama ada kekurangan bekalan ikan disebabkan pencerobohan nelayan asing terutama dari Vietnam, Syed Nor Adli menolak kemungkinan berkenaan kerana kawalan di laut sentiasa dipertingkatkan.

“Kita tidak nafikan memang ada berlaku pencerobohan, namun hasil kawalan ketat membawa kepada penahanan nelayan asing dan rampasan bot.

“Mungkin ada faktor lain yang menyumbang kepada kekurangan bekalan ikan, bukannya pencerobohan semata-mata,” jelas beliau.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *