JABATAN Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang merampas sebanyak 431 kilogram (kg) karkas babi yang dipercayai tidak disembelih di rumah sembelihan yang dilulus atau dilesenkan dalam dua pemeriksaan awal pagi tadi.
Pengarahnya, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata, rampasan pertama iaitu sebanyak 264 kg karkas babi bernilai RM20,500 dibuat kira-kira pukul 2.35 pagi di tepi jalan selepas plaza tol Kubang Semang menghala ke Kulim di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE).
Jelas beliau, rampasan kedua pula iaitu melibatkan sebanyak 167 kg karkas babi bernilai RM43,000 dilakukan di tepi jalan di Kilometer (KM) 132.6, Lebuhraya Sungai Dua (arah selatan).
“Rampasan itu dilakukan di bawah Kaedah 5 (3) Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009.
“Karkas babi yang dirampas ini akan dihantar ke makmal untuk pemeriksaan lanjut dan kita juga akan memohon perintah mahkamah untuk dilupuskan,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat JPV Pulau Pinang hari ini.
Dr. Saira Banu berkata, kedua-dua rampasan itu merupakan yang pertama di Pulau Pinang selepas kerajaan negeri menguatkuasakan perundangan itu bermula 1 Mei lalu.
Jelas beliau, ketika ini terdapat sebanyak lima buah pusat penyembelihan babi dan tiga rumah penyembelihan ruminan yang dilesenkan selain sebuah rumah sembelih ruminan yang diluluskan.
Selain itu, katanya, terdapat seramai 11 orang pemeriksa daging telah dilantik oleh kerajaan negeri untuk memeriksa daging di kesemua rumah sembelihan itu secara bergilir-gilir.
“Kita akan melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan karkas yang dipasarkan adalah selamat untuk makanan manusia,” katanya.
Leave a Reply