POLIS melepaskan enam das tembakan ke arah tayar kereta dipandu seorang lelaki dipercayai pengedar dadah dalam kejadian di Ayer Tawar, Manjung, pukul 4 petagn tadi.
Suspek, 61, yang memandu kereta bersama-sama isteri dan seorang anak lelakinya cuba melarikan diri, namun dikejar polis sejauh kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian sebelum ditahan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki itu ditahan bersama 33 paket syabu seberat 62.5 gram yang ditemukan dalam kereta berkenaan.
“Kejadian berlaku ketika anggota polis dari Balai Ayer Tawar sedang melakukan rondaan cegah jenayah sebelum menahan kereta dinaiki suspek.
“Bagaimanapun suspek bertindak agresif dengan melanggar hadapan kenderaan polis sebelum memecut laju keretanya melarikan diri. Polis terpaksa melepaskan enam das tembakan ke arah tayar kereta suspek.
“Anggota mengejar kenderaan itu sejauh 800 meter sebelum berjaya menahannya. Turut ditahan isteri, 38, dan anak lelaki berusia dua tahun,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Mior Faridalathrash berkata, kejadian tidak membabitkan sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Leave a Reply