KEPUTUSAN berkaitan desakan agar audit dilakukan terhadap pemilihan PKR akan diketahui selewat-lewatnya minggu depan.
Malaysiakini yang memetik The Star melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa berkata, tindakan itu diambil susulan aduan bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Farhash mendesak agar audit forensik dilakukan terhadap keputusan pemilihan PKR yang didakwanya meragukan.
“Mereka minta audit forensik. Itu adil bagi saya. Jadi, kita boleh pertimbangkan untuk membuktikan integriti kita.
“Kami akan membuat keputusan secepat mungkin, kerana kami sedang melihat beberapa perkara lagi, seperti aduan. Kami harus membuat keputusan dalam masa seminggu,” katanya.
Beliau menambah, terdapat ‘beberapa ratus aduan’ yang dikemukakan oleh calon-calon pemilihan tersebut.
“Kami mempunyai panel aduan untuk melihatnya. Ada aduan mengenai (beberapa perkara ‘yang tidak kena’ dalam pengiraan undi), tetapi kami masih memperincikannya,” jelasnya.
PKR mengadakan pemilihan kepimpinan tiga tahun sekali awal bulan ini. Keputusan rasmi hanya akan diumumkan semasa kongres tahunan parti pada 25 Jun dan 26 Jun.
Pemilihan itu dijalankan menggunakan aplikasi telefon pintar Adil. Undian dibuat sama ada secara bersemuka melalui komputer tablet atau dari jauh, pada tarikh yang ditetapkan.
Proses pemilihan itu menyaksikan Farhash tewas kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam saingan merebut Ketua PKR Cabang Gombak.
Beliau antara lain mendakwa proses pengiraan undi dijalankan tanpa kehadiran pemeriksa.
Selain itu, Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail pula mendakwa terdapat cabang yang bercanggah mengenai bilangan ahli yang benar-benar mengundi dan jumlah ahli yang mendaftar untuk mengundi.
Pemilihan PKR kali ini berlangsung dalam suasana panas lebih-lebih lagi dengan kemunculan semula Rafizi Ramli yang bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden.
Sementara itu, Bernama melaporkan, tempoh bantahan bagi pencalonan pemilihan PKR akan dibuka bermula esok hingga 3 Jun manakala tempoh rayuan akan bermula pada 4 hingga 6 Jun.
Zaliha berkata, tempoh itu melibatkan pencalonan bagi ahli majlis pimpinan pusat (Ahli MPP), Ahli majlis pimpinan angkatan Muda keadilan pusat (Ahli MPAMKP) dan Ahli majlis pimpinan wanita pusat (Ahli MPWP).
Beliau dalam satu pekeliling hari ini turut memaklumkan, senarai calon akan dimuktamadkan pada 7 Jun.
Katanya, setiap bantahan perlu didahulukan dengan yuran bantahan RM50 beserta lampiran bukti yang berkenaan melalui aplikasi ADIL, dan sebarang bantahan tanpa bayaran yuran akan ditolak secara automatik.
“Segala urusan dan perjalanan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) adalah menurut Peraturan Pemilihan dan Tatacara Pemilihan Parti pindaan 21 Feb 2022,” katanya dalam pekeliling itu.
Leave a Reply