IMPIAN seorang mak nyah ‘jelita’ yang mahukan hidung tegak mancung serta tirus persis artis K-Pop bertukar mimpi ngeri apabila pembedahan haram dilakukan menyebabkan hidungnya menjadi senget dan bengkok.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Miss L, berusia 31 tahun, memberitahu mula tertarik untuk mencantikkan hidungnya selepas melihat iklan rawatan dalam sebuah Facebook pada Mac lalu.
Menurutnya, sebuah pusat rawatan kecantikan terletak di Kepong, Kuala Lumpur, menawarkan rawatan pembedahan plastik dan kecantikan dikendalikan ‘pakar’ dibawa dari China.
“Tanpa berfikir panjang dan membuat penyelidikan lanjut, saya segera menghubungi pusat kecantikan itu pada 8 Mac lalu sebelum membayar tempahan rawatan sebanyak RM150.
“Saya kemudian membuat bayaran tambahan sebanyak RM6,666 pada 22 Mac lalu diikuti bayaran ketiga sebanyak RM6,800 selepas pembedahan rhinoplasty selesai dilakukan pada 27 Mac,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Dia yang bekerja sebagai pendandan rambut berkata, pembedahan tersebut dilakukan seorang lelaki warganegara China berusia sekitar 30-an dan mendakwa pakar dalam bidang itu.
“Saya menjangkakan tiada masalah akan timbul selepas prosedur pembedahan itu selesai dilakukan. Namun masalah muncul 16 hari kemudian apabila saya mula berasa pelik dengan kedudukan hidung yang senget ke arah kanan.
“Malah terdapat bengkak ketara pada bahagian kiri hidung selain lubang hidung saya memiliki saiz berbeza. Lubang hidung sebelah kiri lebih besar berbanding di sebelah kanan,” katanya.
Menurutnya, dia kemudian segera pergi ke pusat kecantikan itu untuk mendapatkan penjelasan.
“Namun saya terkejut apabila ‘doktor’ itu mendakwa hidung saya amat cantik dan memujinya berulangkali. Malah dia seolah-olah enggan bertanggungjawab dan hanya mahu memulangkan separuh dari wang dibayar sebelum ini.
“Susulan itu saja segera mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum doktor pakar memaklumkan ramai mangsa yang turut mengalami nasib sama akibat rawatan pusat kecantikan tidak berdaftar,” katanya.
Dia kemudian mengambil keputusan membuat aduan di Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA semalam.
Sementara itu Ketua Biro berkenaan, Datuk Seri Michael Chong memaklumkan mangsa turut kehilangan deria bau kesan rawatan kecantikan dilakukan itu.
Leave a Reply