Lagi terjun Jambatan Pulau Pinang, kali ini babitkan pemuda 22 tahun

JAMBATAN Pulau Pinang terus menjadi lokasi pilihan individu untuk terjun apabila satu lagi kejadian dilaporkan berlaku awal pagi tadi.

Kali ini melibatkan seorang pemuda berusia 22 tahun yang dikhuatiri lemas setelah dikatakan bertindak terjun dari di Kilometer 2.2 jambatan itu menghala ke arah pulau.

Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, mangsa yang merupakan lelaki tempatan sebelum itu dipercayai meninggalkan sebuah kereta jenis Peugeot berwarna merah bersama barangan peribadi di tepi jambatan berkenaan sebelum bertindak terjun.

Katanya, bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 5.39 pagi dan tiba di lokasi kejadian kurang 10 minit kemudian.

“Sebaik sahaja tiba, anggota bomba membuat pemantauan dari atas jambatan bagi mengesan kedudukan mangsa, namun dia dikhuatiri telah dihanyutkan arus laut.

“Kerja-kerja mencari dan menyelamat sedang dijalankan dan Pos Kawalan Bomba (PKB) telah dibuka di Jeti Pengkalan Marin JBPM Mak Mandin di Butterworth” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, kejadian mangsa terjun jambatan hari ini adalah kali yang ke-16 dilaporkan sejak Januari lalu dan sepanjang bulan lalu sahaja, hampir 10 kes terjun dan cubaan terjun dari Jambatan Pulai Pinang dicatatkan.

Kejadian paling terbaharu adalah pada 25 Mei lalu yang mana seorang wanita dijumpai mati selepas hampir 33 jam dilaporkan terjun dari kilometer 8.0 Jambatan Pulau Pinang kira-kira pukul 12.39 tengah hari.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *