Satu bilion pil syabu dirampas

SEBANYAK satu bilion pil methamphetamine atau syabu dirampas di Asia Tenggara dan Asia Timur sepanjang tahun lalu sekali gus menjadikan rekod rampasan terbesar setakat ini.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan perkara itu ketika kumpulan penjenayah mengeksploitasi Covid-19 dan ketidakstabilan di Myanmar yang dilanda rampasan kuasa untuk meningkatkan aktiviti mereka.

Kawasan Asia Tenggara yang dipanggil Segi Tiga Emas di sempadan Myanmar, Laos dan Thailand, sudah lama menjadi tumpuan untuk pengedaran dadah.

Menurut Astro Awani yang memetik laporan Bangkok Post, kawalan polis tempatan yang longgar membenarkan bahan haram itu melintasi sempadan negara.

Pejabat PBB Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), Jeremy Douglas berkata, penguatkuasaan undang-undang merampas hampir 172 tan methamphetamine.

“Jumlah itu kira-kira tujuh kali lebih daripada rampasan sedekad lalu.
Bekalan dadah yang melonjak menyebabkan harga jalanan di Thailand dan Malaysia, jatuh ke paras terendah sepanjang masa.

“Skala dan jangkauan perdagangan dadah methamphetamine dan dadah sintetik di Asia Timur dan Asia Tenggara adalah mengejutkan.

“Sindiket jenayah dan kumpulan bersenjata memanfaatkan ketidakstabilan politik di rantau ini dan Covid-19 untuk meraih keuntungan.

“Jenayah terancang mempunyai semua ‘ramuan’ yang mereka perlukan untuk terus mengembangkan perniagaan apatah lagi mereka mempunyai populasi besar dengan sasaran kuasa perbelanjaan,” katanya.

Penganalisis Ubat Sintetik Serantau UNODC untuk program SMART global, Kavinvadee Suppapongtevasakul berkata, harga dadah yang menjunam, menjadikannya lebih mudah diakses dan tersedia kepada mereka yang tidak mampu membelinya sebelum ini.

“Kesan sosial daripada peningkatan penggunaan dadah adalah ketara dan perkhidmatan pengurangan kesihatan dan bahaya kekal terhad di seluruh rantau ini,” katanya.

Walaupun angka pil methamphetamine meningkat, UNODC juga mencatatkan sedikit penurunan dari segi kristal methamphetamine dengan 79 tan dirampas.

Ini berbanding 82 tan pada 2020, namun jumlah itu masih meningkat secara mendadak daripada 10 tan yang diambil sedekad lalu.

Negeri Myanmar utara, Shan, kekal sebagai wilayah sumber utama methamphetamine dengan peningkatan penghantaran dadah masuk melalui Laos, Thailand, sebelum tiba di Malaysia di mana ia diedarkan ke negara di seluruh Asia Pasifik.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *