PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan bekerjasama dengan parti-parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, perbincangan sudah diadakan secara tidak rasmi dengan beberapa parti termasuk yang berada dalam kerajaan, pembangkang dan berkecuali.
Beliau menambah, perbincangan juga sudah dilakukan dengan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) kecuali PKR.
“Kalau ada pun perbincangan dengan anggota komponen PH, ia secara satu-satu parti bukan sekumpulan (PH).
“Setakat ini tidak ada daripada PKR, mungkin mereka masih sibuk dengan pemilihan,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini, hari ini.
Ahli Parlimen Jerlun itu memberitahu, kemungkinan besar Pejuang tidak akan bertanding secara solo dalam PRU-15 namun kerjasama dengan parti-parti lain masih belum dimuktamadkan.
Beliau berkata, perbincangan secara rasmi dengan parti-parti terbabit akan diadakan dalam masa terdekat.
“Kita terbuka untuk kerjasama ini, baik dari segi gabungan atau pakatan literal,” jelasnya pada sidang media selepas perasmian Pemukiman Pejuang Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.
Sementara itu, berhubung sasaran kerusi akan ditandingi Pejuang di Kelantan, Mukhriz berkata, pihaknya memberi mandat kepada pimpinan negeri untuk mengenal pasti kerusi-kerusi yang berpotensi.
“Kami memberi keterbukaan itu kepada majlis pimpinan negeri Kelantan untuk mengenal pasti kerusi mana yang kita bersedia tawarkan calon menjelang PRU-15.
“Saya serahkan kepada pimpinan Kelantan untuk kemukakan cadangan.
“Kita sudah membuat persiapan dan persiapan yang saya maksudkan dari segi jumlah ahlinya, calon yang terlatih dan yang diterima baik oleh penduduk setempat serta ada kriteria-kriteria lain,” ujarnya.
Leave a Reply