Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT
KIRA-KIRA 20 penduduk di Kampung Paya, Teluk Kumbar di Georgetown kini menghitung hari apabila pihak pemaju akan mengambil tanah di kampung tersebut untuk dimajukan dengan projek komersial.
Difahamkan, tanah kampung tersebut yang didiami mereka secara sewa tahunan lebih 50 tahun lalu dijual pemilik asal kepada syarikat pemaju yang mahu membangunkannya tidak lama lagi.
Mereka diberikan tempoh oleh pihak pihak pemaju untuk berpindah dan mengosongkan tanah tersebut sebelum 17 Jun ini.
Susulan itu, rata-ratanya yang merupakan warga emas, ibu tunggal dan bekerja sebagai nelayan di kampung tersebut bimbang dengan nasib mereka.
Malik Mohamad Sharif, 59, serta lebih 20 penduduk yang masih tinggal di kampung tersebut merayu pihak berkaitan khususnya kerajaan negeri Pulau Pinang turut melihat kepada aspek kebajikan mereka sebelum mengambil langkah pengusiran.
Ujarnya yang bekerja sebagai nelayan, keluarganya yang sudah tinggal di kampung itu lebih dari tiga generasi tidak mempunyai tempat lain untuk dituju atau membina semula kehidupan sekiranya terus dipaksa berpindah.
“Sebab itu kami berharap pihak pemaju atau kerajaan negeri boleh mempertimbangkan untuk memberikan kami rumah baharu di kawasan ini sebelum kami berpindah.
“Pampasan yang ditawarkan iaitu sebanyak RM48,000 tidak memadai untuk kami mencari rumah baharu di kawasan ini dan meneruskan kehidupan kami di sini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, Malik serta penduduk Kampung Paya yang terlibat dengan pengusiran itu mengadakan demonstrasi aman di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Georgetown.
Selain bantahan aman, mereka turut menyerahkan memorandum kepada wakil Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk dipanjangkan kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sempena sidang DUN yang bermula hari ini.
Seorang lagi penduduk, Sazali Hanafi, 63, berkata, pampasan tersebut tidak besar nilainya untuk mereka mencari kediaman baharu termasuk di kawasan asal mereka di Teluk Kumbar.
Malah katanya, projek perumahan baharu yang dirancang di tapak asal kampung mereka juga akan dijual pada harga bermula RM72,000 iaitu jauh lebih tinggi daripada nilai pampasan ditawarkan kepada mereka.
“Kami bersedia berpindah jika kerajaan negeri dan pihak pemaju dapat menawarkan kami unit di projek perumahan tersebut kerana ini adalah tempat asal kami dan kami tidak mahu berpindah dari sini,” katanya yang bekerja sebagai nelayan.
Bagi ibu tunggal, Rodiah Shuib, 65, turut merayu pihak berkenaan dapat menyediakan penempatan baharu kepadanya di kawasan tersebut sebelum langkah pengusiran dilakukan.
Dia yang sudah menetap di situ lebih 50 tahun lalu bimbang jika terpaksa berpindah dan memulakan kehidupan di tempat lain apatah lagi dia tidak mempunyai pendapatan kerana tidak lagi mampu bekerja dan hanya bergantung hidup kepada dua anaknya.
“Saya masih lagi dalam kesedihan selepas kehilangan anak akibat Covid-19 baru-baru ini, dan arahan supaya saya mengosongkan rumah sehingga pertengahan bulan depan makin membuatkan saya sedih dan tertekan,” katanya.
Leave a Reply