Penyokong Liverpool ‘punca masalah’ pada malam final


Menteri Sukan Perancis, Amelie Oudea-Castera berkata, penyokong Liverpool yang tiba tanpa tiket sah dan pemuda tempatan yang cuba menceroboh masuk merupakan punca huru-hara sebelum permulaan final Liga Juara pada Ahad lalu.

“Apa yang kita kena fikirkan adalah yang pertama; sejumlah besar penyokong Liverpool tiba sama ada tanpa tiket atau mempunyai tiket palsu. Apabila terdapat ramai di hadapan pintu masuk, ramai yang akan cuba untuk menceroboh kawasan. Terdapat sejumlah pemuda-pemuda tempatan yang cuba memasuki perlawanan tersebut dengan menyelinap bersama penyokong lain,” katanya.

Sepak mula final Liga Juara Real Madrid menentang Liverpool ditangguhkan selama 35 minit selepas pihak polis Perancis menahan penyokong-penyokong yang cuba memasuki perlawanan besar itu tanpa tiket sementara yang mempunyai tiket sah tidak dapat memasuki Stade de France.

Rakaman Televisyen menunjukkan gambar pemuda-pemuda yang tidak memakai baju Liverpool memanjat pagar manakala penyokong lain termasuk kanak-kanak disembur dengan gas pemedih mata.

Keadaan yang huru-hara di stadium nasional itu dikatakan ‘memalukan’ dan akan menjejaskan imej Perancis yang akan menjadi tuan rumah Piala Dunia Rugbi 2023 dan Kejuaraan Olimpik pada tahun 2024.

Pengarah Eksekutif Liverpool, Billy Hogan menyatakan layanan terhadap penyokong mereka itu ‘tidak boleh diterima’ dan meminta penyiasatan yang mendalam oleh UEFA.

Oudea-Castera berkata mereka ‘tidak mempunyai masalah’ dengan penyokong di bahagian bertentangan, Real Madrid dan memuji kelab Sepanyol tersebut kerana mengawal penyokong mereka dengan lebih baik.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *