SEORANG pelajar perempuan tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Chukai, Kemaman, Terengganu cedera parah selepas terjatuh dari jejantas setinggi 10 meter di sekolahnya, semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt. Hanyan Ramlan berkata jejantas tersebut digunakan pelajar berkenaan kerana ia menghubungkan dua blok akademik yang terletak di seberang jalan.
“Mangsa dikatakan mahu pergi ke blok bertentangan selepas selesai mengikuti sesi bacaan Yasin dan terjatuh ketika berada di jejantas tersebut pada 7.30 pagi.
“Polis yang mendapat laporan terus ke lokasi kejadian dan menghantar mangsa ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Hanyan berkata akibat kejadian itu, pelajar tersebut dilaporkan patah pinggang dan beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu kerana pihaknya sedang melakukan siasatan terperinci.–Bernama
Leave a Reply