Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
TIGA buah kapal asing ditahan kerana melakukan pemindahan minyak secara haram kedudukan 9.1 batu nautika timur Tanjung Siang, Kota Tinggi antara jam 12 tengah hari hingga 7 malam tadi.
Kapal yang berdaftar dari Singapura, Malabo dan Monrovia itu ditahan dalam operasi melibatkan sebuah pesawat udara milik maritim Malaysia dan tujuh anggota Pasukan Tindakan Khas Maritim Malaysia.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, penahan terpaksa dilakukan semua kru dari kapal berkenaan tidak memberikan kerjasama semasa pemeriksaan.
“Penahanan terpaksa dilakukan secara ‘force boarding’ oleh Pasukan Tindakan Khas Maritim Malaysia berikutan kedegilan kru kapal itu memberikan kerjasama untuk diperiksa penguat kuasa.
“Kapal tangki itu dikendalikan 39 kru warga Indonesia, Singapura dan Rusia berumur di antara 24 hingga 62 tahun dan mempunyai pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Nurul Hizam, kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(K) bagi kesalahan melakukan aktiviti kapal ke kapal (STS) tanpa kebenaran dan 491B(1)(L) bagi kesalahan bersauh tanpa kebenaran.
“Jika didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Nakhoda ketiga-tiga kapal turut disiasat di bawah Sekyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM 10,000 atau kedua-duanya sekali sekiranya bersalah,” katanya.
Leave a Reply