Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT
LEBIH 30 wakil penduduk di kawasan Mukim 5 Seberang Perai Selatan (SPS) hari ini mengadakan demonstrasi aman berkenaan masalah air di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Georgetown, hari ini.
Mereka turut menyerahkan memorandum kepada wakil Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil kesempatan sempena sidang DUN yang sedang berlangsung ketika ini dengan harapan suara dan masalah mereka dapat diberi perhatian.
Demosntrasi aman itu dilakukan kerana masalah dihadapi penduduk di mukim berkenaan yang berdepan masalah ketiadaan air sejak lebih empat tahun lalu, namun masih gagal diselesaikan sehingga kini.
Malah menurut penduduk, anak-anak mereka yang sepatutnya tinggal di asrama juga diminta pulang oleh pihak sekolah yang turut berdepan masalah ketiadaan air.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Sementara berhubung isu itu, Khairul Ahmad Fitri Suhaimi berkata, 30, penduduk terpaksa mengambil tindakan mengadakan demonstrasi hari ini selepas isu ketiadaan air tersebut gagal diselesaikan sehingga kini.
“Sedangkan penduduk telah beberapa kali membangkitkan perkara ini sama ada kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) serta kerajaan negeri menerusi wakil rakyat kawasan berkenaan sebelum ini.
“Sebaliknya apa yang kami dapat adalah jawapan yang mengecewakan dan penyelesaian jangka pendek yang langsung tidak mementingkan kebajikan kami sebagai rakyat.
“Antaranya adalah bekalan air di kawasan kami terpaksa dibahagikan dengan kawasan industri di Batu Kawan dan Bukit Minyak dan ini tidak adil bagi kami sebagai pengguna domestik,” katanya kepada pemberita selepas demonstrasi aman itu.
Seorang peniaga, Khairul Ahmad Fitri mempersoalkan langkah jangka pendek pihak berkaitan menyediakan tangki air sementara yang tidak memadai untuk menampung kira-kira 32,000 isi rumah (akaun) di kawasan tersebut yang terjejas dengan masalah air berkenaan.
“Tangki air sementara ini pula diisi dengan air yang tidak sesuai untuk kegunaan penduduk lebih-lebih lagi untuk memasak.
“Malah, ia juga menyusahkan penduduk khususnya warga emas yang tinggal jauh dari lokasi tangki itu untuk memunggah air setiap hari khususnya ketika mereka tinggal bersendirian,” katanya.
Bagi Nurul Niza Zaini, 44, dia dan penduduk di Taman Seri Emas ketika ini hanya menerima bekalan air dalam tempoh hanya empat jam iaitu antara pukul 1 pagi hingga 4 pagi setiap hari.
Ujar kakitangan swasta itu, tempoh waktu yang tidak logik tersebut menyusahkan penduduk yang terpaksa bangun atau berjaga sehingga awal pagi untuk menyelesaikan urusan rumah berkaitan penggunaan air.
“Masalah ini semakin meruncing sejak awal tahun ini dan pada sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri lalu, kami pernah terputus bekalan air antara 15 hingga 20 jam,” katanya.
Tambah beliau, penduduk berharap masalah ketiadaan bekalan air itu dapat diselesaikan segera dan tidak teragak-agak membuat laporan kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika terus berlanjutan.
Leave a Reply