POLIS Kelantan menahan empat tokan dadah dalam tiga serbuan berasingan yang dilakukan di Tumpat dan Kota Bharu, semalam.
Menurut Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, dadah bernilai RM11,000 itu berjaya dirampas bersama-sama suspek lelaki berusia dari 26 hingga 48 tahun itu.
Menurut beliau, serbuan pertama membabitkan penahanan dua lelaki di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Belukar, Wakaf Bharu, Tumpat pada pukul 1 pagi.
“Jumlah dadah dalam serbuan pertama adalah sebanyak 1,020 pil kuda dan empat biji pil epam bernilai RM10,220,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Kota Bharu, hari ini, lapor Sinar Harian.
Menurut Muhamad Zaki, dalam serbuan kedua pula, polis menahan seorang lelaki di belakang sebuah rumah di Kampung Jal Kechik, Tumpat pada pukul 2.30 pagi.
Sementara serbuan kedua pula katanya, menemukan 23 biji pil kuda dan tiga gram dadah bernilai RM730.
“Kemudian dalam serbuan ketiga, seorang lelaki ditahan di sebuah rumah di Kampung Sireh Bawah Hilir, Kota Bharu dan polis merampas 55 biji pil kuda bernilai RM550,” ujarnya.
Tambah Muhamad Zaki, kesemua suspek direman lima hari bermula Ahad sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, keseluruhan rampasan dadah dalam ketiga-tiga serbuan tersebut berjumlah RM11,550 selain sebuah motosikal jenis RS 150 berwarna hitam bernilai RM6,000 disita.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A (1) dan 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Leave a Reply