farhash amirudin audit forensik

Kalah pemilihan PKR, Farhash mahu audit forensik terhadap keputusan

SETELAH tewas dalam saingan Ketua PKR Cabang Gombak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menggesa agar audit forensik dijalankan terhadap keputusan pemilihan PKR.

Memetik laporan FMT, bekas pegawai khas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mendakwa berlaku percanggahan antara jumlah undi dikira dan pengundi.

Beliau kalah di tangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Farhash Wafa Salvador akan membantah keputusan ‘tidak munasabah’ undian secara fizikal dan dalam talian di cabang Gombak.

“Pihak saya mempunyai bukti dan dokumentasi kukuh untuk menyatakan bantahan rasmi, dengan gesaan untuk parti menjalankan audit forensik terhadap sistem keputusan dan kaedah pelaksanaannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mendakwa, berdasarkan keputusan yang disiarkan di laman sesawang PKR hari ini, jumlah undian dikira tidak sama dengan jumlah pengundi.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi dalam laman sesawang PKR, Amirudin menundukkan Farhash dengan 1,858 undi berbanding 1,215 undi.

Farhash berharap Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan pimpinan parti akan mengambil tindakan sewajarnya serta membetulkan keadaan sekiranya terbukti pemilihan dan keputusan dikompromi.

Kebimbangan dibangkitkan bekas Ketua PKR Perak itu berhubung pemilihan parti adalah yang terbaharu dalam beberapa siri rungutan dilaporkan calon dan ahli.

Selain dakwaan pengundi hantu dan ahli ‘meragukan’ yang layak mengundi, pemilihan PKR kali ini turut dicemari masalah teknikal yang mengganggu pengundian di lapan bahagian pada hujung minggu lalu.

Pemilihan PKR kali ini juga dipecayai menyaksikan peratusan mengundi yang rendah, dengan kurang 13 peratus daripada 1.1 juta ahlinya mengundi secara fizikal atau dalam talian.

Terdahulu, JPP dilaporkan berkata, pemilihan parti sudah berakhir dan keputusan rasmi akan diumumkan dalam Kongres PKR pada 25 serta 26 Jun ini, manakala keputusan tidak rasmi akan disiarkan di laman sesawang parti mulai hari ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *