Bayi rentung

Penolong pegawai tadbir MBSA maut ketika menyelam

SEORANG kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meninggal dunia ketika melakukan aktiviti menyelam bersama rakannya di perairan Tokong Timur, Pulau Tenggol, hari ini.

Kejadian yang menimpa Puspasari Aminuddin, 37, disedari apabila mangsa ditemui tidak bernafas ketika timbul dari penyelaman.

Pemandu bot kumpulan itu, Mohamad Sani berkata, mangsa timbul selepas 15 minit di dalam air sedangkan masa diperuntukkan adalah 45 minit.

Beliau pelik apabila melihat mangsa timbul selepas hanya 15 minit menyelam tetapi tidak berbuat apa-apa kerana fikirkan wanita berkenaan mahu berehat atau mengambil nafas.

“Apabila melihat mangsa tidak bergerak, saya mula curiga sebelum menghidupkan enjin bot dan pergi mendapatkan mangsa dalam jarak kira-kira 150 meter.

“Mangsa tidak menunjukkan tindas balas selepas saya mengejutkan beberapa kali sebelum saya menaikkan dia ke atas bot dan memeriksa nadi,” katanya memetika laporan Berita Harian.

Mohammad berkata, selepas membuat pemeriksaan nadi, mangsa didapati meninggal dunia sebelum segera menghubungi talian kecemasan.

Mangsa yang juga penolong pegawai tadbir MBSA bersama tiga rakan melakukan aktiviti penyelaman di situ.

Ketika itu ada lapan penyelam lain juga menyelam di situ.

“Kami bertolak dari Kuala Dungun pukul 8.30 pagi dan tiba di situ, pukul 9.45 pagi sebelum mangsa serta penyelam lain turun menyelam.

“Saya dan pembantu saya di atas bot dan 15 minit selepas itu, saya pelik bila melihat mangsa timbul di permukaan air dalam sedangkan masa menyelam diperuntukkan kepada mereka sekitar 45 minit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

Menurutnya, mangsa bersama tiga rakannya tiba di Dungun malam tadi sebelum bertolak ke kawasan Pulau Tenggol pukul 8.30 pagi ini untuk menyelam di situ.

“Mangsa dikatakan memiliki sijil menyelam dan menyertai trip harian itu dan dijangka pulang semula ke Dungun pada petang ini.

“Mayat mangsa dibawa oleh pemandu bot ke Kuala Dungun sebelum dibawa polis ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *