Pekerja empangan lemas ketika menjala ikan

SEORANG lelaki yang hilang selepas perahu dinaiki bersama tiga rakan karam ketika menjala ikan berhampiran Empangan Baleh, Putai, Kapit pada malam Rabu lalu ditemukan lemas pukul 4.11 petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, Timoty Barat berkata, mangsa, Julius Melina, 35, dijumpai terapung oleh orang awam berhampiran Klinik Kesihatan Nanga Merirai.

“Dalam insiden itu, mangsa gagal menyelamatkan diri manakala dua rakan mangsa selamat selepas berjaya berenang ke tebing sungai yang berlaku sekitar tengah malam Rabu lalu.

“Mayat mangsa dijumpai terapung oleh orang awam kira-kira 40 kilometer daripada lokasi perahu mereka karam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan Borneo.

Timoty berkata, mangsa berasal dari Nanga Ibau, Kapit dan merupakan seorang pekerja Empangan Balleh Putai.

Katanya, mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi pencarian telah ditamatkan semalam.

Operasi pencarian tersebut juga dibantu oleh pasukan polis (empat), Angkatan Pertahanan Awam (dua orang) dan tiga orang dari Lembaga Sungai-Sungai Sarawak.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *