SELEPAS Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, kini PKR Cabang Tambun pula tumpang sekaki membantah hasrat pemimpin DAP, Dr Abdul Aziz Bari untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Memetik laporan Malaysiakini, PKR Cabang Tambun dengan tegas menyatakan bahawa parti itu tidak akan memberi laluan kepada Ketua Pembangkang Perak tersebut.
Ketua Wanitanya, Norheizan Sofea Mustafa mengingatkan Abdul Aziz bahawa kerusi Parlimen Tambun secara tradisinya ditandingi oleh calon dari PKR.
“Kerusi Tambun ditandingi oleh PKR sejak 2008 cuma ia diberikan kepada Bersatu pada PRU 2018 kerana ketika itu parti berkenaan ada bersama Pakatan Harapan (PH).
“Kini mereka tidak lagi bersama PH. Maka, sepatutnya kerusi itu harus diserah semula kepada PKR,” katanya kepada Malaysiakini.
Norheizan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan dibuat Abdul Aziz yang berminat bertanding di Tambun baru-baru ini.
Sebelum ini, Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi memberitahu Malaysiakini bahawa dia beliau berminat untuk mencabar bekas menteri besar itu di kerusi Parlimen Tambun pada PRU ke-15.
Abdul Aziz ialah pengerusi bersama Sekretariat PH Tambun manakala Norheizan menjadi setiausahanya.
Selain Abdul Aziz, dua lagi pengerusi bersama sekretariat itu ialah Ketua Cabang PKR Tambun merangkap ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad, dan Ketua Amanah Tambun, Prof Dr Fakhruldin Hisham.
Norheizan menambah, PKR Cabang Tambun tidak sesekali rela melepaskan kerusi parlimen Tambun kepada sesiapa khususnya Abdul Aziz yang dianggapnya sering berubah pendirian.
“Selepas kalah di kerusi Parlimen Sabak Bernam pada PRU-13 dia keluar PKR dan menyertai DAP. Ahli PKR Cabang Tambun memang mempunyai pandangan negatif terhadapnya.
“Sebagai pemimpin kanan di Perak, Abdul Aziz sepatutnya mencontohi tindakan pemimpin DAP yang lain seperti Liew Chin Tong bertanding di kerusi yang lebih mencabar, bukan mengambil jalan mudah untuk masuk ke Parlimen,” katanya.
Walau siapa pun yang bakal diketengahkan PH sebagai calon di Tambun, ia tidak menjejaskan peluang penyandang kerusi Parlimen tersebut, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk mempertahankannya bagi penggal kedua.
Leave a Reply