Perahu layar warga Perancis ditahan masuki perairan negara

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan seorang lelaki warga Perancis yang memasuki perairan negara dengan menggunakan perahu layar pada kedudukan 1.6 batu nautika timur dari muara Sungai Mersing, semalam.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, perahu layar yang sedang bersauh itu ditahan dalam rondaan OP Jaksa pada pukul 12.45 tengah hari.

“Perahu layar itu dikendalikan seorang nakhoda lelaki warga Perancis berumur 44 tahun dan didapati telah memasuki negara secara haram serta mengemukakan dokumen perjalanan tanpa cap kemasukan ke Malaysia.

“Pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda tersebut juga gagal melaporkan ketibaan memasuki perairan Malaysia.

“Nakhoda bersama perahu layar seterusnya ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya salam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kes akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1952 kerana tidak ada cap kemasukan ke Malaysia secara sah serta di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana tidak melaporkan ketibaan memasuki perairan Malaysia kepada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *