Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEBUAH kapal tangki Vietnam ditahan kerana didapati bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 22.6 batu nautika timur laut Tanjung Kelesa, Kota Tinggi, pukul 3.20 petang semalam.
Kapan tersebut ditahan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili semasa melaksanakan operasi rutin di perairan tersebut.
Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd. Najib Sam berkata, kapal tangki itu berdaftar di Vietnam.
“Hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut dikendalikan 24 kru lelaki termasuk nakhoda, terdiri daripada 19 warga Vietnam dan lima warga Myanmar berumur di antara 22 hingga 55 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemeriksaan ke atas dokumen kapal mendapati nakhoda gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kapal itu ditahan dan nakhoda serta seorang kru dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut.
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
“Maritim Malaysia akan terus memantau dan memastikan perairannegeri Johor bebas dari sebarang cubaan bersauh tanpa kebenaran.
Pemilik atau pengusaha perkapalan dinasihatkan untuk mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Laut Malaysia dan mengikut peraturan atau segera beredar kerana Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.
Leave a Reply