SEORANG lelaki yang dilaporkan hilang selepas perahu dinaikinya karam berdekatan projek Empangan Baleh, di Putai, Kapit tengah malam Rabu lalu, ditemukan lemas, pukul 4.11 petang tadi.
Mayat Julius Melina, 36, ditemui terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di hilir sungai berdekatan Klinik Kesihatan Nanga Merirai, yang terletak kira-kira 40 kilometer dari tempat perahunya karam.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, “mayat mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.”
Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak polis, mangsa bersama dua rakannya menaiki sebuah perahu untuk menangkap ikan pada tengah malam, Rabu lalu.
“Sampai di satu lokasi perahu yang mereka naiki karam menyebabkan mangsa hilang manakala dua rakannya berjaya menyelamatkan diri,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Katanya, operasi SAR membabitkan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, empat anggota polis, tiga anggota Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) serta dua anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Leave a Reply