Lelaki dipenjara 10 tahun dera isteri

SEORANG lelaki dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun di sebuah mahkamah di selatan India pada Selasa kerana mendera isterinya.

Harian Metro memetik laporan Agensi memaklumkan, kes itu berhubung hantaran perkahwinan sehingga menyebabkan mangsa membunuh diri.

Mahkamah daerah di negeri Kerala mendapati Kiran Kumar bersalah di bawah undang-undang ‘kematian hantaran kahwin.’

Ini membolehkan pendakwaan terhadap individu yang menyebabkan kematian wanita dalam tempoh tujuh tahun perkahwinan dengan hantaran perkahwinan dan bayaran.

Hantaran kahwin tidak dibenarkan mengikut undang-undang, tetapi ia menjadi amalan biasa di India, di mana ia disediakan keluarga pengantin perempuan.

Kumar mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Difahamkan, Kumar sudah berkahwin dengan Vismaya Nair, kira-kira setahun sebelum Vismaya ditemukan meninggal dunia di bilik air rumah keluarga suaminya pada Jun lalu.

Keluarga Vismaya sebelum itu berjanji memberikan sejumlah emas, tanah seekar (kira-kira 0.4 hektar) dan kereta sebagai hantaran kahwin.

Namun, lelaki itu tidak berpuas hati dengan model kereta itu dan meminta lebih banyak wang, menurut dokumen mahkamah.

Mahkamah mendapati, Kumar melakukan penderaan fizikal dan verbal terhadap Vismaya.

Pada 2020, India merekodkan lebih 10,000 aduan hantaran kahwin dan hampir 7,000 ‘kematian hantaran kahwin’.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *