UNIVERSITI Multimedia (MMU), antara universiti terkemuka di Malaysia, kini bersedia untuk menjadi hab bagi mempromosikan bahasa dan budaya Korea menerusi King Sejong Institute-MMU (KSI-MMU) yang dilancarkan di kampus Melaka baru-baru ini.
Penubuhan KSI-MMU akan membantu dalam mempertingkatkan keterlihatan global yang lebih ketara bagi kedua-dua institusi, sekali gus berfungsi sebagai platform untuk menyediakan pelajar MMU dan orang ramai meneroka peluang dan mengalami dunia Korea melalui pelbagai acara, pertandingan dan kelas pengajian.
MMU merupakan antara 25 institusi baharu yang terpilih daripada 120 permohonan di seluruh dunia untuk menjadi sebahagian daripada KSI.
Majlis pelancaran dirasmikan oleh Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia, Lee Chi Beom, dan disaksikan oleh Presiden MMU, Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud.
Mazliham berkata, MMU sentiasa menggalakkan warganya meneroka dan merasai sendiri pelbagai aspek masyarakat dunia termasuk bahasa dan budayanya.
“Mempelajari bahasa asing akan mendidik dan menggalakkan rasa hormat kepada orang lain selain memupuk pemahaman tentang hubungan saling kait antara bahasa dengan sifat manusia.
“Penguasaan bahasa asing memperluas sudut pandang seseorang terhadap dunia, memperkaya pengalaman, dan menjadikan seseorang lebih fleksibel dan bertolak ansur,” tambahnya.
Sambil menyatakan rasa terujanya, Chi Beom menegaskan, KSI-MMU akan terus memperkaya pertukaran dalam sektor pendidikan dan budaya antara Korea Selatan dan Malaysia.
“Melangkah ke hadapan, saya berharap akan wujud sinergi melalui pertukaran dan kerjasama antara institut pendidikan di Malaysia dan usaha ini bakal memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dengan Korea Selatan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Yayasan Institut King Sejong, Lee Hae Young berkata, walaupun berlaku penularan wabak COVID-19 sebelum ini, bilangan pelajar di Institut King Sejong di Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 20 peratus, dan perkembangan ini membuktikan bahawa bahasa dan budaya Korea adalah popular di negara ini.
“Selaras dengan trend semasa, KSI-MMU kini menyediakan pembelajaran bahasa dalam talian melalui aplikasi pelbagai kandungan untuk perkongsian pendidikan dan budaya Korea yang lebih dinamik dan aktif kepada pelajar,” katanya.
Dalam ucapan tahniah kepada KSI-MMU, Presiden Persatuan Korea di Malaysia, Lee Tae-Su pula berkata, kedua-dua institut akan memainkan peranan penting dalam memperkenalkan sejarah, budaya dan teknologi termaju Korea ke Malaysia.
“Usaha ini akan memberi peluang kepada ramai anak muda di Malaysia untuk menimba kemahiran dan pengetahuan unggul Korea. Saya berharap KSI-MMU akan membantu bakat Malaysia menjadi lebih bersedia untuk masa depan pendidikan akan datang,” ujarnya.
Leave a Reply