SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat kes empat lelaki tempatan termasuk dua penjawat awam yang disyaki terlibat menyeludup masuk 119 etnik Rohingya di perairan Sungai Kedah, baru-baru ini.
Tindakan awal SPRM adalah mengenal pasti kesalahan yang berlaku sekiranya mengesan sebarang bukti rasuah.
Menurut Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap, SPRM akan mengambil tindakan jika ada bukti-bukti berlaku perbuatan rasuah.
“Kita amat memandang serius perlakuan terbabit dan mana-mana pihak perlu diberi amaran kerana tali barut penyeludup manusia ini boleh menggugat keselamatan negara.
“Orang ramai juga disaran menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes terbabit kepada SPRM,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Menurutnya, orang ramai juga disaran menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes terbabit kepada SPRM.
Media melaporkan cubaan empat lelaki tempatan menyeludup masuk 119 etnik Rohingya di perairan Sungai Kedah gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah pada Selasa.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, sepasukan anggota Maritim Malaysia yang membuat rondaan Operasi Aman telah mengesan dan menahan sebuah bot nelayan tempatan di kawasan perairan tersebut pada 9.20 malam.
Hasil pemeriksaan menjumpai 119 etnik Rohingya iaitu 47 lelaki, 32 wanita, 23 kanak-kanak perempuan dan 17 kanak-kanak lelaki yang kesemuanya berumur lima hingga 38 tahun sedang bersembunyi di ruangan bawah lantai bot berkenaan.
Warga tempatan terbabit disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Leave a Reply