Harga barang naik: ‘Kerajaan seolah tidak peduli derita rakyat’

KERAJAAN Keluarga Malaysia disifatkan sebagai tidak proaktif dan mengabaikan keluhan rakyat yang kini dihimpit krisis kenaikan harga dan kekurangan bekalan makanan serta barangan keperluan harian.

Meluahkan kehampaan mereka kepada SatuBerita dalam tinjauan di sekitar Serdang, Selangor, semalam, mereka menuntut tindakan berkesan daripada kerajaan.

Seorang penduduk Sri Serdang, Siti Fatimah, 57 berkata, berasa amat sedih dan kecewa dengan apa yang sedang berlaku hari ini.

“Saya rasa Malaysia ni sudah… saya tak berani juga nak cakap, tapi pemimpin-pemimpin kita agak mengecewakan termasuk Perdana Menteri kita sendiri. Mereka tak pandang keadaan rakyat, ibarat masalah rakyat ini tak diselesaikan.

“Mereka perlu lebih banyak turun padang dan tengok keadaan rakyat. Banyak perkara yang rakyat tengah hadapi bukan setakat kenaikan harga barang. Mereka perlu lebih utamakan kita sebagai rakyat. Harga barang yang naik ni perlu dipantau, barangan itu semua keperluan harian,”katanya.

Peniaga kedai makanan, Thana Scegaran, 56 berkata, kenaikan harga hari ini sudah mencapai tahap tidak masuk akal. Menurutnya, kenaikan mendadak harga sayur-sayuran amat membebankan dia dan keluarga yang mengamalkan pemakanan vegetarian.

“Sayur terlalu mahal sekarang. Harga berapa helai sayur pun sudah berapa? Kami nak buat macamana?

“Kerajaan hanya cakap saja, tapi tidak buat. Apa yang dia janji nak buat, sepatutnya dia perlu buat. Harga barangan tak nampak penurunan langsung. Makin naik ada lah… Sememangnya rasa kesal sangat.

“Mereka hanya kawal harga gula dan tepung sahaja bila saya pergi pasar. Minyak masak pun makin naik harga,” luahnya.

Pesara bank, Zulkifli Ismail, 59 berkata, kerajaan perlu lebih agresif dalam menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak terutamanya pembekal yang mengambil kesempatan menaikkan harga.

“Tolong selidik apa yang sedang terjadi terutamanya pengeluar produk. Perlu stabilkan kembali harga barangan. Ini tiba-tiba sahaja naik. Malah, bekalan tiba-tiba putus. Saya bernasib baik ada kawan berniaga ayam mentah tolong carikan ayam,” ujarnya.

Pelajar universiti awam, Chan Yao Wen, 22, berkata, kenaikan harga barang telah mengganggu perbelanjaan hariannya, lebih-lebih lagi dirinya perlu menyewa rumah menjelang semester akhir dalam masa terdekat ini.

“Perbelanjaan saya meningkat ketara sebanyak dua hingga tiga kali ganda. Sebagai seorang pelajar, saya amat terbeban dengan perkara ini.

“Pengawalan harga barang itu tanggungjawab kerajaan, bukan rakyat. Kalau harga tak dikawal, pembekal dan penjual akan naikkan harga sesuka hati sahaja. Rakyat pula mahu tak mahu, tetap kena bayar,” katanya.

Seorang lagi mahasiswa, Aishah Sohimi, 20, berkata, dia mengakui agak terbeban apabila kini perlu membayar makanan tengah hari sehingga RM20 ekoran kenaikan harga barangan berkenaan.

“Sebagai pelajar, ia agak membebankan. Tambahan pula saya masih belum ada pendapatan. Tapi bagi orang dewasa pasti lebih menjejaskan mereka apabila gaji yang dibayar tidak selari dengan kenaikan harga.

“Saya juga masih belum jelas dengan strategi yang dibuat oleh kerajaan dalam menangani isu ini. Tetapi harga barangan perlu selari dengan pendapatan rakyat,” ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *