zuraida kamaruddin PBM

Zuraida letak jawatan menteri kabinet, keluar Bersatu sertai PBM

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

AHLI Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin hari ini mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi serta keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau mengambil keputusan untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan langkah itu dibuat selepas mengambil pertimbangan mendalam.

“Saya telah berkecimpung dalam politik selama 24 tahun, termasuk 14 tahun terakhir sebagai Ahli Parlimen Ampang. Sepanjang penglibatan dalam politik, saya amat bersyukur kerana dapat menyumbang kepada kebajikan rakyat, khususnya pengundi di Ampang dan di kedua-dua Kementerian yang saya telah diberikan amanah untuk berkhidmat.

“Beberapa bulan kebelakangan ini saya mula berfikir tentang politik negara dan hala tuju masa depan politik saya. Saya telah mendapat maklumbalas dari penyokong rapat saya, pengundi di Ampang, rakan sekerja dalam kerajaan, wakil-wakil dari pertubuhan masyarakat sivil serta kumpulan dari sektor perniagaan dan korporat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana amat tertarik dengan enam prinsip terasnya iaitu keterlibatan pelbagai kaum; pemberdayaan wanita; pemerkasaan anak muda; pembangunan ekonomi; peningkatan pendidikan dan kemajuan sains teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

“Saya melihat banyak potensi dalam PBM, terutamanya pada masa rakyat Malaysia sudah bosan dengan politik lama yang membantutkan kemajuan negara. Insya Allah, penyertaan serta pengalaman saya ke PBM nanti akan dapat membantu mengangkat parti ini ke peringkat yang lebih tinggi, terutamanya menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

“Penyertaan saya ini juga akan mengisi kelompongan kepimpinan wanita dalam negara. Sejak penubuhannya, PBM dilihat semakin kuat dan kini mempunyai beberapa orang Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam barisannya,” katanya.

Beliau bersyukur kerana pendiriannya sebagai Ahli Parlimen Ampang menyokong kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri adalah selari dengan pendirian PBM.

Zuraida akan bertemu Ismail Sabri dalam masa terdekat untuk membincangkan perletakan jawatannya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Beliau juga akan berbincang tentang peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia.

“Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan Perdana Menteri. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin serta Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas kepercayaan mereka melantik saya sebagai menteri Kabinet.

“Sepanjang saya berkhidmat di kedua-dua kementerian, saya telah berusaha memberikan yang terbaik dan membawa perubahan positif kepada rakyat dan kehidupan mereka.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan padu yang saya terima sepanjang perkhidmatan saya di kedua-dua Kementerian.
Saya kini berada di Turki memenuhi undangan memberikan ucapan pada majlis pembukaan Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan Palestin,” katanya.

Jelasnya, persidangan itu akan berlangsung selama tiga hari bermula esok dan seterusnya beliau akan ke Athens, Greece bagi memenuhi undangan Misi Perniagaan dan Pengembangan Pasaran Kayu Malaysia bersama Majlis Kayu Kayan Malaysia.

Pada 22 Ogos 2020, Zuraida yang juga bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama-sama Timbalan Presiden PKRDatuk Seri Mohamed Azmin Ali, seorang lagi bekas Naib Presiden PKR, Ali Biju; Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Ahli Parlimen Indera Mahkota), Datuk Mohd. Rashid Hasnon (Ahli Parlimen Batu Pahat), Datuk Seri Dr. Santhara Kumar (Ahli Parlimen Segamat), Willie Mongin (Ahli Parlimen Puncak Borneo) serta Datuk Kamaruddin Jaffar (Ahli Parlimen Bandar Tun Razak) mengumumkan keluar PKR dan menyertai Bersatu.

Semuanya menyatakan pendirian menyokong kepemimpinan Muhyiddin yang ketika itu sebagai Perdana Menteri dan mereka bersedia ditempatkan di 222 kerusi Parlimen dan lebih 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *