Zikir dan selawat sumber kekuatan warga emas ketika hilang seminggu dalam kebun

ZIKIR dan selawat menjadi sumber kekuatan buat seorang pesara kakitangan awam, Yaakub Ismail, 76, sepanjang seminggu dia dilaporkan hilang di kawasan kebun durian dan buah-buahan miliknya di Kampung Pasir Dusun di sini, sebelum ditemukan selamat pada Rabu.

Yaakub yang hilang sejak 19 Mei itu ditemui oleh orang ramai yang turut serta dalam operasi dan menyelamat (SAR) pada pukul 6.45 petang selepas berada dalam sebuah pondok berhampiran kawasan kejadian, kira-kira empat kilometer dari kawasan kebunnya.

Anak mangsa, Mohd Sufian Yaakub, 49, berkata, sepanjang tempoh tersebut ayahnya tidak putus-putus berzikir dan berselawat sepanjang perjalanan untuk mencari jalan keluar dari kawasan kebun tersebut.

“Ayah juga makan pisang hutan, daun-daun kayu dan minum air daripada lopak-lopak anak sungai bagi meneruskan kelangsungan hidup sepanjang tersesat di dalam hutan.

“Itu antara cerita yang dikongsikan oleh ayah kepada kami sebaik sahaja dia selamat ditemukan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, dia bersyukur ayah ditemukan dalam keadaan sedar walaupun badan agak lemah selepas mengharungi perjalanan panjang untuk mencari jalan keluar selepas tersesat.

Katanya, mengikut cerita ayah, dia mahu melihat kawasan kebun sebelah yang baharu diusahakan namun terlajak jalan.

“Ayah telah cuba laluan baharu dan kemudian tersesat di kawasan tersebut. Alhamdulillah, kesihatan ayah bertambah baik pada hari ini dan dia kini sedang berehat di rumah di Kampung Berangan, Tumpat.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), pengamal perubatan tradisional dan penduduk kampung yang membantu mencari ayah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Ahmad Ariffin berkata, ketika ditemukan mangsa berada dalam keadaan sedar dan mampu bercakap serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mangsa memberitahu sebelum hilang dia keluar dari kebunnya untuk melihat anak pokok getah.

“Kemudiannya, dilaporkan mangsa hilang arah disebabkan tidak tahu jalan untuk kembali semula ke kebun,” katanya.

Menurutnya, mangsa telah dihantar ke Hospital Jeli untuk mendapatkan rawatan sebelum diserahkan kepada pihak keluarga.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *