PERSATUAN Bas Sekolah Selangor Putrajaya dan Kuala Lumpur (PBSSPKL) berkemungkinan akan menaikkan tambang bas sekolah.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi, Mohd. Haron Mohd. Sidik yang berkata, kenaikan itu akan dilakukan sama ada pada bulan depan atau Julai ini.
Beliau berkata, kenaikan itu adalah bagi menampung kos penyelenggaran dan alat ganti kenderaan telah naik mendadak antara 50 hingga 80 peratus.
Bagaimanapun, katanya, jumlah kenaikan itu bergantung kepada perbincangan dan persetujuan antara pengusaha dengan pelanggan.
“Bayaran tambahan juga akan dikenakan untuk penghantaran dan pengambilan pelajar dari kelas kokurikulum, kelas-kelas tambahan, latihan sukan, tuisyen dan sebagainya yang luar dari waktu rasmi balik dari sekolah.
“Pengusaha terpaksa mengkaji dan menaikkan tambang kerana pihak kami sudah tiada pilihan lagi untuk menampung kos penyelenggaraan bas,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Satu Berita.
Jelas beliau, PBSSPKL ada mengemukakan cadangan dan menghantar memorandum kepada kerajaan supaya menanggung separuh tambang bas sekolah dan selebihnya ditanggung oleh ibu bapa.
Tambahnya, pihaknya turut memohon kerajaan memberikan subsidi minyak petrol dan diesel RM1 seliter kepada pengusaha-pengusaha bas sekolah seluruh Malaysia.
“Sekiranya berlaku sebarang bencana dan sekolah ditutup, hanya kerajaan sahaja yang perlu membayar tambang bas sekolah untuk memastikan kelangsungan pengusaha bas sekolah,” katanya.
Leave a Reply