Bangkai tikus dalam stor penyimpanan produk kopi dan teh

Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

BANGKAI tikus yang dipercayai telah mati sejak beberapa hari lalu di dalam stor penyimpanan produk yang sudah siap dibungkus.

Itu antara penemuan oleh anggota Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Pulau Pinang ketika menyerbu sebuah kilang memproses kopi dan teh di Bukit Mertajam hari ini.

Malah, kilang yang sudah beroperasi kira-kira 50 tahun lalu dan membekalkan produk kopi serta teh untuk pasaran tempatan tersebut juga didapati dipenuhi najis tikus sekali gus mengundang risiko keselamatan makanan.

Operasi itu digerakkan Unit Penguatkuasaan BKKM bersama beberapa pegawai daripada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang serta Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Menurut Ketua Unit Penguatkuasaan BKKM, Mohd. Wazir Khalid, selain masalah kebersihan, kilang itu juga didapati menggunakan logo halal yang meragukan untuk produk mereka.

Katanya, berdasarkan pemantauan dari aspek kebersihan dan sebagainya, kilang itu tidak sepatutnya mendapat kelulusan untuk menggunakan logo halal.

“Selain itu, kilang ini juga didapati menggunakan peralatan yang tidak mematuhi standard ditetapkan seperti menggunakan peralatan yang dibuat dari kayu serta besi yang tidak tahan karat.

“Selain itu, lantai simen kilang ini juga berlopak dan ada takungan air yang boleh menyebabkan pencemaran kepada produk minuman yang belum dibungkus,” katanya.

Tambah Mohd. Wazir, kilang itu telah diarahkan ditutup serta-merta selama dua minggu di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 bagi kerja-kerja pembersihan.

Selain itu kata beliau, pihaknya turut mengeluarkan tiga kompaun berjumlah RM5,000 terhadap pemilik kilang terbabit atas kesalahan menggaji pekerja tanpa suntikan tifoid serta tidak memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) yang sepatutnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *