Asrama pekerja kilang telur ayam dalam keadaan daif dibongkar

KOTOR dan tidak berperikemanusiaan. Demikian gambaran suasana tempat tinggal 27 pekerja di sebuah kilang pengeluaran telur ayam di Alor Gajah.

Tanpa kemudahan asas seperti tilam, bekalan elektrik dan air  yang terhad serta dapur yang kotor, pekerja asing yang rata-ratanya dari Myanmar itu terpaksa hidup dalam keadaan tersebut gara-gara majikan gagal mematuhi peraturan penginapan pekerja yang ditetapkan.

Keadaan tersebut yang dibongkar melalui Op Rumah Pekerja selama lebih dua jam itu juga mendapati terdapat dua pekerja “diarahkan” majikan kilang berkenaan untuk tinggal di pondok usang bagi menjaga gudang penyimpanan dedak ayam di situ.

Exco Perpaduan, Penerangan, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Ngwe Hee Sem berkata hasil pemeriksaan mendapati majikan berkenaan menyediakan 15 unit penginapan pelbagai jenis kepada 27 pekerja asing yang digajikan tanpa sebarang perakuan penginapan.

“Kita juga dapati majikan belum membuat sebarang permohonan untuk mendapatkan perakuan tersebut di samping pelbagai kesalahan dikesan dilakukan di bawah Akta Standard  Minimum  Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446),” katanya kepada media selepas mengadakan operasi bersepadu Op  Rumah  Pekerja di Kuala Sungai Baru hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Melaka Rohana Bakar dan Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Melaka Dr Rabaayah Daud.

Katanya majikan tersebut  turut melanggar peraturan di bawah Seksyen 24D iaitu penginapan tidak mempunyai perakuan, Seksyen 24K (tidak melakukan penyelenggaraan ke atas penginapan) serta Peraturan-Peraturan Minimum Penginapan iaitu tidak menyediakan katil, tilam dan almari berkunci.

Ngwe juga berkata majikan berkenaan turut melanggar kesalahan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) iaitu gagal membayar caruman tiga pekerja dan gagal mendaftar pekerja.

“Jadi satu kertas siasatan telah dibuka dan dalam masa yang sama kita akan memantau penambahbaikan yang telah kita diarahkan kepada majikan dan syarikat tersebut,” katanya.

Kata Ngwe keadaan tersebut amat mengecewakan terutama apabila majikan berkenaan sudah dimaklumkan dan diberikan surat peringatan tentang kesalahannya sebelum ini.

“Bagaimanapun majikan masih gagal patuh (peraturan). Malah apabila kita datang untuk operasi hari ini pun masih keadaan yang sama, sejak kali terakhir pemeriksaan dilakukan pada Febuari lepas.

Majikan hanya memberi alasan penginapan itu sudah disediakan di suatu tempat (lain) tetapi belum pindah lagi. Tapi pihak JTK anggap itu hanya alasan kerana di sinilah penginapan sebenar mereka (pekerja),” katanya yang turut menjelaskan ada pekerja yang sudah bekerja lebih daripada tujuh tahun dan masih menginap di tempat yang sama.

Kata beliau pihaknya tidak akan berkompromi malah memberi amaran kepada majikan yang masih gagal mematuhi peraturan rumah penginapan pekerja agar mengambil tindakan segera.

“Kita akan lebih kerap adakan operasi dan turun padang agar rumah penginapan pekerja berada dalam keadaan yang memenuhi standard ditetapkan kerana keadaan tersebut setakat ini sangat mengecewakan,”  katanya.

–BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *