BEBERAPA lokasi di sekitar Kuala Lumpur dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat yang berterusan tengah hari tadi.
Laman Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan menyatakan, banjir kilat berlaku di Jalan Kuching, Jalan Segambut, Jalan Khidmat Usaha dan Jalan Ampang-Jalan Dang Wangi.
Kementerian tersebut turut memaklumkan bahawa petugas-petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah bersedia dan sudah berada di beberapa kawasan bagi memastikan kelancaran pengaliran air dan membantu pengaliran trafik.
Sementara itu, laman Facebook Polis KL memaklumkan jalan-jalan berikut dinaiki air:
- Jalan Sultan Azlan Shah dari arah Jalan Ipoh (masih boleh dilalui kenderaan)
- Jalan Imbi ke arah Jalan Sultan Ismail (masih boleh dilalui kenderaan)
- Jalan Ipoh / Jalan Rahmat (air bertakung)
- Jalan Sultan Ismail / Jalan Ampang (masih boleh dilalui kenderaan)
- Jalan Kampar off Jalan Sentul
- Bulatan Dato’ Onn
- Kampung Periuk
- Jalan Duta Mas
- Jalan Ampang dan Jalan Dang Wangi
Laman Facebook Jabatan Meteorologi turut mengeluarkan amaran ribut petir, huan lebat dan angin kencang di seluruh Kuala Lumpur sehingga pukul 4 petang ini.
Lokasi-lokasi yang diletakkan di bawah amaran yang sama adalah Kedah (Kulim dan Bandar Baharu), Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim), Pahang (Raub dan Bentong), Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban dan Port Dickson) dan Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).
Leave a Reply