KONFLIK Rusia-Ukraine yang sedang meletus ketika ini dijangka melarat sehingga mencetuskan Perang Dunia Ketiga, ramal penyangak mata wang antarabangsa, George Soros.
Memetik laporan Mirror, Soros, 91, meramalkan situasi itu akan menyebabkan tamadun dunia moden berakhir.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2022 di Davos, Switzerland baru-baru ini.
Katanya, satu-satu harapan yang tinggal bagi dunia Barat adalah menumpaskan Presiden Rusia, Vladimir Putin secepat mungkin bagi menamatkan perang yang menggegarkan Eropah itu.
“Penaklukan itu mungkin permulaan bagi Perang Dunia Ketiga dan tamadun kita mungkin berakhir.
“Kita mesti menggerakkan segala sumber-sumber kita untuk menamatkan perang lebih awal.
“Satu-satunya cara yang ada untuk memastikan kesinambungan tamadun kita adalah dengan menewaskan Putin secepat mungkin.
“Walaupun pertempuran akan berhenti, situasi tidak akan kembali seperti sedia kala.
“Konflik tersebut menyebabkan isu-isu kemanusian yang lain seperti melawan pandemik dan perubahan iklim, mengelakkan perang nuklear, mengekalkan institusi global tidak diberi keutamaan dan sebab itu saya kata tamadun kita mungkin akan tamat,” katanya.
Soros memuji Ukraine yang mempertahankan nilai-nilai Barat dan berpandangan, negara itu sedang berperang untuk dunia Barat dan Eropah.
“Mereka ada peluang untuk menang dan kita mesti memberikan segala bantuan yang mereka minta,” jelasnya.
Pada masa yang sama, beliau mengkritik Jerman terutamanya bekas Canselor, Angela Merkel kerana menjalinkan ‘rundingan khas’ dengan Moscow bagi menjamin bekalan minyak.
Leave a Reply